Tuesday, 29 April 2014

Hidup Dalam Lingkungan Hari Ini

Teks : Nurul Azwa Zulkifli

Assalamualaikum WBT

Salam ceria, salam penuh kebahagiaan. Doa saya semoga kita sentiasa bahagia dan saling membahagiakan. Semoga hari ini kita menjadi lebih baik dari semalam. Jadikanlah setiap hari yang hadir bermakna dan bermanfaat. Mulakanlah tabir hari baru kita dengan nama Allah dan bernafaslah dengan kesyukuran seiring siulan burung. Semai bakti dan taburkan budi. Jalanilah kehidupan kita dengan merasakan hari ini adalah hari terakhir. Justeru, jadikanlah ia hari yang terbaik. Setiap hari adalah hari yang baru bagi orang yang bijak.

Sebenarnya terlalu ramai di kalangan kita yang mengenang masa lalu dengan kecewa dan bersedih. Malah ada yang membiarkan dirinya dalam kerisauan hari esok yang belum pasti. Bersyukurlah untuk hari ini kerana masih lagi diberi ruang dan peluang untuk bernafas.

Manusia yang paling kuat iman pun akan tumbang pada hari ini jika dia mengumpul kekecewaan semalam dan bebanan hari esok. Sama-sama kita rasakan setiap fajar yang baru adalah kelahiran hari baru. Bangunkan semangat dalam jiwa untuk menjadikan lingkungan hari ini sebagai harapan kejayaan dan kebahagiaan kita. Di saat memulakan awal pagi, positifkan rasa terhadap hal-hal baik yang akan berlaku pada hari tersebut. Bila kita bersangka baik terhadap perkara yang baik, biasanya perkara itulah yang akan terjadi. Begitu juga sebaliknya.

Jangan pernah sekali kita biarkan hati karam dan lemas dalam kekecewaan semalam. Biarkan ianya berlalu. Simpan sahaja dalam kotak kenangan untuk dijadikan sebagai guru dalam kehidupan. Bukankah pengalaman itu guru yang terbaik? Cuma mungkin yurannya agak mahal!

Sentiasa berfikir dan merencana hari esok adalah sikap orang yang cemerlang. Ayuh kita sama-sama menetapkan bahawa setiap hari adalah hari yang lebih bererti bagi kita. Kita akan lebih sihat. Kita akan lebih bahagia. Hidup akan lebih riang dan bertambah kasih sayang.

Salam sayang, salam penuh hormat
Nurul Azwa Zulkifli =)


No comments:

Post a Comment