Friday 21 February 2014

TAK KENAL MAKA TAK CINTA

Bismillah pembuka bicara.

Alhamdulillah, kalam syukur saya panjatkan pada Yang Esa atas nikmat tak terhingga ini. Perkenalan dengan cikgu Nisa Nua di alam maya tanpa disengajakan, memberikan saya ruang dan peluang untuk menzahirkan sebahagian dari impian saya yang terpendam sekian lama. Semoga dengan lahirnya blog ini, sebahagian lain impian saya dapat direalisasikan sepenuhnya, insha Allah. Maha hebat aturan Dia.

Di kalangan teman-teman ramai menyangka saya anak jati Perak. Hakikatnya saya dilahirkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan dibesarkan di Perak. Saya mendapat pendidikan awal di Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) An-Nur selama setahun. Kemudiannya meneruskan pelajaran di beberapa buah sekolah rendah. Lantaran beberapa kali berpindah atas tuntutan kerja ibubapa saya. Saya memulakan zaman sekolah menengah saya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Slim River sehingga tamat Tingkatan Lima. Selepas SPM, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dalam jurusan Pengajian Islam di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Terengganu. Kini ia telah dinaik taraf sebagai sebuah universiti.

Setelah tamat belajar, saya telah memohon berbagai kerja. Ternyata rezeki tidak berpihak pada saya. Saya menjadi 'penggangur terhormat' selama hampir setahun. Ketika saya merasakan hilang punca, bapa saya menawarkan saya menyertai kemahiran jahitan kerana dia tahu akan kecintaan saya pada kerja-kerja tangan. Justeru pada tahun 2004 saya menghadiri kelas jahitan secara formal di Dian Academy, Kuala Lumpur. Setelah enam bulan belajar secara sepenuh masa, akhirnya saya memiliki Diploma Jahitan dan Rekaan Fesyen.

Saya memulakan alam kerjaya saya pada pertengahan 2004. Sebaik tamat belajar di Dian Academy, saya ditawarkan menjadi pembantu butik di sebuah butik di Serdang. Di sini, selain dapat menzahirkan ilmu jahitan yang dipelajari, saya juga mempelajari berbagai teknik jahitan yang tidak diajar di mana-mana kelas jahitan. Genap setahun, saya berhenti. Setelah itu saya bekerjasama dengan sepupu saya. Kami membuka kedai jahitan secara kecil-kecilan di rumah. Alhamdulillah, rezeki tidak pernah putus.

Pada pertengahan tahun 2007 saya mendapat tawaran kerja secara kontrak dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sejujurnya, sebahagian dari hati saya ingin menerima tawaran tersebut dan sebahagian lagi sebaliknya. Atas nasihat ibubapa dan saudara-mara,  jiwa saya cair. Lantas saya menerima tawaran tersebut. Pada masa ini, jahitan saya buat secara sambilan sahaja.

Awal Disember 2008 saya dikenalkan oleh ibu saudara dengan suami saya. Tanpa saya sangka, pada penghujung tahun yang sama, suami saya meminang saya untuk menjadi suri hatinya. Alhamdulillah, pada 15 Mac 2009 kami diijab kabulkan. Siapa sangka, dalam sibuk menguruskan persiapan kahwin, saya mendapat tawaran kerja tetap dengan kerajaan. Dalam masa yang sama, saya masih lagi berkhidmat di DBKL namun, tempoh kontrak belum tamat. Saya percaya pada rezeki perkahwinan kami. Lalu saya menerima tawaran tersebut dan membayar denda sebulan gaji kerana memberi notis berhenti dalam tempoh singkat.

Sebaik berumahtangga, saya berhenti melakukan aktiviti jahitan saya. Semangat menjahit saya menjadi pudar. Alhamdulillah, tidak sampai setahun usia perkahwinan, kami dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Setelah kelahiran anak pertama, saya tidak menjahit langsung. Selang dua tahun, kami dikurniakan cahaya mata perempuan. Kehadiran anak kedua telah menghidupkan kembali semangat menjahit saya.

Di saat saya menulis entri ini, saya masih dalam cuti berpantang anak ketiga. Dan pada masa ini, keinginan menjahit saya berada di tahap yang memberangsangkan. Pelbagai idea mengalir tanpa henti. Dan satu yang pasti, saya cuba menyusun sebaik mungkin perjalanan saya untuk mengejar impian terpendam saya sekian lama. Ya, saya mengimpikan menjadi seorang "Work At Home Mom" (WAHM).

Semoga dengan lahirnya blog ini, saya mampu merealisasikan impian saya yang satu itu. Saya juga ingin berkongsi dengan pembaca sedikit sebanyak ilmu jahitan yang dimiliki. Insha Allah, doa saya panjatkan pada Yang Esa agar melalui blog ini saya dapat mengumpul rezeki bekalan dunia dan akhirat di sana terutamanya.

Harapan saya agar impian saya terlaksana. Tidak kira cepat atau lambat. Tidak kira sama ada saya perlu merangkak atau berlari. Doa saya setiap hari, agar Dia memberikan yang terbaik di sisi Dia buat saya. Doa saya untuk anda juga. Semoga kita tidak kenal penat mahupun lelah dalam mencapai impian kita. Insha Allah.

Salam sayang, salam penuh hormat,
Nurul Azwa Zulkifli :)

No comments:

Post a Comment