Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts
Showing posts with label Catatan Harian. Show all posts

Thursday, 5 July 2018

Tiada Yang Pernah Terlewat.





Teks : Nurul Azwa Bt. Zulkifli


Assalammualaikum WBT dan salam sejahtera.

Setelah sekian lama, saya menjenguk kembali di sini. Hampir tiga tahun saya berhenti seketika dari menulis di blog. Lamanya! Sebenarnya sejak dari bulan Ramadhan lagi saya telah menanam azam baru untuk kembali menulis di sini. Bermula dari awal. 

Tiada yang salah dan tak pernah terlewat untuk mulakan azam baru. Ketika kita berazam dengan azam yang baru, tidak perlu menunggu untuk bermula. Ya, mulakan sahaja! Kita tidak pasti adakah dengan sifat menangguhkan itu memberi peluang untuk kita melakukannya. Maka, pilihan terbaik yang kita ada hanyalah melakukan tanpa bertangguh!

Doa saya semoga saya terus istiqamah dengan azam baru ini. Doa saya buat kalian juga agar Allah memberikan kesempatan dan ruang pada kalian agar mampu melakukan apa jua azam ke arah kebaikan dengan segera. Minta dan minta dari Dia tanpa jemu. 



Salam sayang, salam penuh hormat,
Nurul Azwa Zulkifli.

Wednesday, 28 May 2014

Rindu Semua

Teks : Nurul Azwa Zulkifli

Assalamualaikum WBT

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya menulis pagi ini. Sungguh, saya rindu untuk berada di 'pentas' kecil saya ini. 

Lama menyepi bukan bererti saya menghilang. Diberi sedikit ujian tanda kasih sayang dari Nya. Kesihatan anak-anak tidak mengizinkan saya untuk menyentuh gajet yang ada. Bahkan tempahan dress pun terpaksa diketepikan seketika. Pastinya anak-anak menjadi keutamaan saya berbanding perkara lain. Sebagai ibu kita inginkan setiap anak kita sentiasa sihat. Namun, ada kala apa yang kita harapkan menjadi sebaliknya. Bersabarlah. Setiap yang baik dan buruk itu semuanya dari Yang Maha Pencipta.

Setelah hampir seminggu anak-anak demam silih berganti, saya pula yang demam. Saya jarang sekali demam. Bila demam, memang saya tidak kuat langsung untuk membuat sebarang kerja. Di saat ini, suamilah yang mengambil alih menguruskan anak-anak.  Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang boleh bertolak-ansur dalam banyak perkara. 



Saya teringat dengan sabda nabi saw tentang 'rebut lima perkara sebelum lima perkara'. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin. Lapang sebelum sempit. Hidup sebelum mati. Sungguh, antara nikmat yang paling  mudah dilupakan manusia adalah nikmat sihat.

Semoga kita sama-sama manfaatkan setiap nikmat yang Allah kurniakan buat kita. Jangan sekali kita menjadi hamba yang lalai dan penuh leka.

Salam sayang, salam penuh hormat,
Nurul Azwa Zulkifli =)


Wednesday, 7 May 2014

Ya, Itu Saya

Teks : Nurul Azwa Zulkifli

Assalamualaikum WBT

Salam mesra buat kalian yang tak pernah jemu untuk singgah di blog saya. Salam kenalan buat anda yang pertama kali menjengah ke sini. Terima kasih saya ucapkan. Semoga ada manfaat yang dapat dikutip dari perkongsian saya yang sedikit ini.

Buat yang pertama kali menjengah ke mari, saya Nurul Azwa Bt. Zulkifli. Kepakaran saya menyediakan dress cantik buat anak-anak gadis kalian mengikut design pilihan kalian sendiri. Segalanya bermula apabila saya dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan. Saya inginkan mereka sentiasa berpakaian cantik. Saya juga suka melihat kanak-kanak perempuan apabila berpakaian dress.





Sejujurnya bisnes tempahan dress kanak-kanak yang saya usahakan ini adalah secara sambilan. Saya percaya, ia langkah awal untuk saya mengorak langkah mencapai impian saya satu hari nanti, insha Allah.  Pelanggan saya dari kalangan teman-teman sekeliling juga teman-teman kenalan di alam maya. Ramai kenalan dari muka buku lebih mengenali saya menerusi ruangan page saya di Izzah Collection

Saya akui melakukan dua kerja dalam satu masa bukan perkara yang mudah. Banyak cabarannya. Walau melakukan bisnes ini secara sambilan, saya tidak pernah ambil mudah setiap tempahan. Setiap tempahan saya akan pastikan ia siap mengikut date line yang telah ditetapkan. Begitu juga dengan hasil jahitan. Bagaimana saya cerewet dan detail dengan pakaian sendiri, begitu juga dengan tempahan dari pelanggan. Saya akan sehabis baik memastikan kekemasan potongan dan jahitan setiap dress. Ia sebagai satu jaminan kepada pelanggan saya bahawa setiap wang yang dilaburkan berbaloi dengan hasil yang diperolehi. 



Setiap bisnes perlukan kepada strategi pemasaran. Tanpa marketing, satu-satu bisnes tidak mampu untuk berkembang. Saya sendiri walau berbisnes secara sambilan, saya tetap melakukan marketing. Selain hebahan dari mulut ke mulut oleh pelanggan-pelanggan sekeliling, saya turut kongsikan hasil jahitan saya di 'facebook' personal saya. Agar orang lain nampak hasil jahitan saya. 

Setiap apa yang kita usahakan, selain dari kesungguhan kita juga perlukan kepada dua asas utama. Pertama ilmu, kedua kumpulan sokongan. Ilmu perlu sentiasa dicari. Ilmu itu hidup dan proses belajar tidak pernah tamat. Apabila berkelapangan saya akan ikuti kelas jahitan yang diadakan oleh individu mahu pun pusat komuniti berhampiran. Saya juga sering membaca artikel berkaitan seni jahit di blog dan majalah. Sokongan suami, menjadi kekuatan saya. Malah saya juga menyertai kumpulan sokongan yang terdiri dari tukang-tukang jahit profesional dan amatur di group facebook. Alumni di Akademi Bekerja Di Rumah turut menjadi kumpulan sokongan yang hampir dengan jiwa saya.

Saya turut memberi peluang kepada bakal-bakal usahawan peluang untuk berniaga melalui jualan kain cotton. Ini sebagai satu nilai tambah dalam bisnes yang saya usahakan. Saya sentiasa mencari individu yang berminat menjadi agen jualan kain cotton. Setiap agen saya serapkan ke dalam kumpulan sokongan yang saya bina sendiri. Ini bertujuan agar mereka sentiasa bergerak seiring bersama saya.

                     



Impian saya pada apa yang saya usahakan sekarang, saya akan mempunyai jenama dress kanak-kanak saya sendiri. Jenama anak tempatan yang setanding dengan jenama antarabangsa seperti Baby Kiko, Pigeon, Osh Kosh Bigosh dan yang lain-lain. Saya yakin saya akan mencapainya satu hari nanti dengan keizinan dariNya.


Tuesday, 29 April 2014

Hidup Dalam Lingkungan Hari Ini

Teks : Nurul Azwa Zulkifli

Assalamualaikum WBT

Salam ceria, salam penuh kebahagiaan. Doa saya semoga kita sentiasa bahagia dan saling membahagiakan. Semoga hari ini kita menjadi lebih baik dari semalam. Jadikanlah setiap hari yang hadir bermakna dan bermanfaat. Mulakanlah tabir hari baru kita dengan nama Allah dan bernafaslah dengan kesyukuran seiring siulan burung. Semai bakti dan taburkan budi. Jalanilah kehidupan kita dengan merasakan hari ini adalah hari terakhir. Justeru, jadikanlah ia hari yang terbaik. Setiap hari adalah hari yang baru bagi orang yang bijak.

Sebenarnya terlalu ramai di kalangan kita yang mengenang masa lalu dengan kecewa dan bersedih. Malah ada yang membiarkan dirinya dalam kerisauan hari esok yang belum pasti. Bersyukurlah untuk hari ini kerana masih lagi diberi ruang dan peluang untuk bernafas.

Manusia yang paling kuat iman pun akan tumbang pada hari ini jika dia mengumpul kekecewaan semalam dan bebanan hari esok. Sama-sama kita rasakan setiap fajar yang baru adalah kelahiran hari baru. Bangunkan semangat dalam jiwa untuk menjadikan lingkungan hari ini sebagai harapan kejayaan dan kebahagiaan kita. Di saat memulakan awal pagi, positifkan rasa terhadap hal-hal baik yang akan berlaku pada hari tersebut. Bila kita bersangka baik terhadap perkara yang baik, biasanya perkara itulah yang akan terjadi. Begitu juga sebaliknya.

Jangan pernah sekali kita biarkan hati karam dan lemas dalam kekecewaan semalam. Biarkan ianya berlalu. Simpan sahaja dalam kotak kenangan untuk dijadikan sebagai guru dalam kehidupan. Bukankah pengalaman itu guru yang terbaik? Cuma mungkin yurannya agak mahal!

Sentiasa berfikir dan merencana hari esok adalah sikap orang yang cemerlang. Ayuh kita sama-sama menetapkan bahawa setiap hari adalah hari yang lebih bererti bagi kita. Kita akan lebih sihat. Kita akan lebih bahagia. Hidup akan lebih riang dan bertambah kasih sayang.

Salam sayang, salam penuh hormat
Nurul Azwa Zulkifli =)